Rabu, 25 Mei 2011

PUISI : ANUGERAH TUHAN..

Kau anugerah Tuhan yang tidak ternilai,
amanah yang dipertanggungjawabkan,
menjadi dambaan pasangan yang diijabkabulkan,
Permata hati harapan di masa hadapan.

Namun,
Itu semua bagi yang mensyukuri nikmat Tuhan,
Bagaimana pula nasib " Anugerah Tuhan" itu,
bagi mereka yang tidak menginginkannya,
tidak mendambakannya,
malah tidak terfikir untuk memilikinya,
BerTuhankan "nafsu",
Berkiblatkan "Syurga Dunia",
Berimamkan " Syaitan"
hingga sanggup "membuang" dan "membiarkannya" bersendirian..
entah hidup..entah mati...
semuanya tidak terlintas dihati...

Sedarlah dan bangkitlah wahai insan,
lihatlah sekitarmu...
lihatlah sekelilingmu..
hargailah " anugerah Tuhan" itu,
belalah nasibnya..
kasihi mereka..
mungkin..
"dia" bukan anak kita..
"dia" bukan adik kita..
"dia" bukan saudara kita...
Tetapi "dia" amanah Tuhan..
dan pemimpin generasi masa akan datang...
Sesungguhnya...
Kita juga bermula dari seorang "anak" anugerah Tuhan !.

nukilan : Cahaya Aisyah

Selasa, 17 Mei 2011

kanak-kanak terbiar... tanggungjawab siapa?




( Gambar Yaysan kebajikan Suria, Tuaran dan Pengasas Yayasan Kebajikan Suria Datuk Hjh. Raya Erom )
Anak-anak adalah generasi akan datang. Mereka akan menyumbang ibu bapa mereka. Kalau ibu bapa menanamkan cinta akhirat, akhiratlah yang akan diperjuangkan. Kalau ibu bapa mengajar anak-anak cenderung kepada dunia, maka kehidupan dunialah yang akan diperjuangkannya. Namun, bagaimana pula nasib anak-anak yang terbiar dan membesar tanpa kasih sayang ibu bapa? ke manakah arah mereka ? haruskah mereka dipersalahkan atas kesilapan dan kealpaan ibu bapa mereka ? ...
Anak-anak diibaratkan kain putih, ibu bapa atau orang dewasalah yang mencorakkan serta mewarnakannya. Sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud : " setiap anak itu dilahirkan di atas fitrahnya ( iaitu kejadian yang suci ) dan ibu bapanyalah yang menjadikannya Yahudi atau menjadikannya Kristian ataupun Majusi." ( Muttafaq 'alaih ).Sehubungan dengan itu, anak-anak terbiar juga merupakan Amanah Allah yang mempunyai hak yang sama dengan anak-anak yang lain.
Adapun anak-anak terbiar ini termasuklah anak-anak yang tidak punya identiti (mangsa pembuangan anak), anak-anak yang terdiri dari keluarga yang miskin atau kurang mampu, anak yang menjadi mangsa perceraian ibu bapa atau anak yatim yang kehilangan ibu bapa tempat bergantung.Sesungguhnya, jauh di sudut hati mereka, semua yang berlaku adalah bukan atas keinginan mereka tetapi semuanya ketentuan Tuhan yang mereka belum dapat memahaminya. Oleh itu, sebagai ahli masyarakat dan orang dewasa, kita seharusnya bertanggungjawab membantu mereka menjalani kehidupan yang serba mencabar ini.Kita tidak perlu menuding jari kepada kesilapan yang telah dilakukan oleh yang berkenaan, atau menyerahkan semua kepada tanggungjawab pemerintah. Sebagai hamba Allah dan khalifah di muka bumi ini kita sewajarnya mengambil peranan untuk membantu mengikut kemampuan kita.Mungkin mereka tiada pertalian darah dengan kita tetapi esok lusa kita tidak tahun nasib dan qada' qadar kita dan ahli keluarga kita sekiranya diuji dengan ujian yang sama.
Di celah-celah kekusutan 'menuding jari' mencari siapakah yang harus dipersalahkan terhadap isu anak-anak terbiar ini, hadir rasa tanggungjawab terhadap seorang insan yang berhati mulia dan prihatin terhadp kanak-kanak terbiar ini, beliau yang dimaksudkan ialah yang berbahagia Datuk Raya Erom Pengasas dan Pengerusi Eksekutif sebuah rumah kebajikan yang dinamakan Yayasan Kebajikan Suria yang merupakan badan NGO.Antara matlamat penubuhan rumah kebajikan Yayasan Suria iniialah membantu anak-anak yang tidak berkemampuan termasuk fakir-miskin, anak yatim, anak yang menjadi mangsa perceraian serta yang mempunyai adik-beradik yang ramai (keluarga yang tidak mampu menyara anak-anak). Sumber maklumat adalah berdasarkan tinjauan saya (penulis) sendiri iaitu hasil temubual bersama pegawai rumah kebajikan Yayasan Suria, Tuaran Pn. Rahmat Jhan binti Kahar salah seorang staf yang mengrurskan rumah kebajikan ini yang bertugas sejak dari tahun 1996 hingga kini. Berdasarkan pengalaman beliau bertugas, perkara yang paling utama dalam menjalankan aktiviti kebajikan ini ialah niat iaitu keikhlasan, kesungguhan dan minat untuk membantu serta kesabaran yang tinggi dalam mengharungi cabaran-cabaran yang datang silih berganti.Menurut beliau lagi semangat yang jitu dalam menjalankan tugas dalam kerja kebajikan ini adalah diinspirasikan oleh Pengasas Yayasan Kebajikan Suria sendiri iaitu yang berbahagia datuk Raya Erom yang sentiasa memberikan sokongan moral dan material bukan sahaja kepada anak-anak 'istimewa' ( terbiar) sahaja malah para petugas juga diberikan suntikan semangat dengan menganggap semua warga Yayasan Kebajian Suria adalah ahli keluarga beliau. Ini terbukti dengan keprihatinan beliau iaitu mengadakan majlis sambutan Hari Jadi beliau bersama anak-anak istimewa rumah kebajikan dan staf. Disamping itu, beliau memastikan beliau mempunyai masa dan kelapangan untuk melawat dan meninjau anak-anak pada setiap bulan. Keperluan asas yang cukup disediakan untuk anak-anak ini menjalani kehidupan seperti anak-anak yang lain ini termasuklah keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal, kemudahan pendidikan seperti kelas agama dan kenderaan ke sekolah serta pembantu yang membantu pengurusan diri murid dalam penyediaan makanan,pakaian dan tempat tinggal.Dengan fasiliti yang disediakan dirumah kebajikan ini dapat memberikan ruang kepada anak-anak istimewa ini merasai keadaan tempat tinggal yang selesa yang menjadi idaman setiap kanak-kanak yang membesar. Keselesaan yang diberikan dapat menterjemahkan maksud "rumahku, syurgaku" dalam benak pemikiran anaka-anak istimewa ini.
Puan Rahmat Jhan iaitu Pegawai kebajikan Yayasan Kebajikan Suria menceritakan lagi pengalaman beliau bersama staf yang lain dimana sebelum mereka menempatkan anak-anak istimewa ini di rumah kebajikan mereka perlu menyiasat sendiri atau 'turun padang' untuk melihat sendiri kehidupan yang dilalui oleh anak-anak tersebut. Dengan cara pemilihan kelayakan yang telus ini, menampakkan kesungguhan pertubuhan Yayasan Kebajikan ini benar-benar membela nasib anak-anak yang terbiar ini. Antara kawasan pendalaman yang pernah mereka singgahi kawasan pendalaman keningau, Kota Belud dan iperkampungan Inanam Sabah. Beliau menambah lagi, dengan melihat sendiri keadaan anak-anak ini memberikan kesan yang tersendiri pada diri terutama sekali perasaan bersyukur yang amat tinggi kepada Allah swt atas segala nikmat yang diperolehi berbanding dengan kehidupan anak-anak istimewa ini disamping rasa insaf dan perlunya perkongsian nikmat Allah itu kepada yang memerlukan. Segala penat dan letih segera hilang tatkala melihat sendiri kesusahan kehidupan yang dijalani. Puan Rahmat Jhan menceritakan lagi satu kes yang mana anak yang terdiri dari adik-beradik yang ramai dan keluarga yang susah sehingga anak-anak tidak terurus termasuk pengurusan identiti mereka iaitu kewarganegaraan. Terdapat juga anak yang kematian bapa dan ibu pula bukan warganegara yang tidak mampu menguruskan anaknya.Maka atas pertimbangan dan persepakatan staf Yayasan Suria mengambil tanggungjawab untuk menguruskan anak-anak mereka ini demi masa depan mereka.
Kanak-kanak dan remaja yang membesar di Yayasan Kebajikan Suria ini adalah beragama Islam dan ramai daripada mereka adalah muallaf. Dengan rasa tanggungjawab sebagai seorang Islam maka seorang hamba Allah lagi terpanggil memperjuangkan aktiviti kebajikan ini iaitu Ustazah Dangamas binti Madiana yang mula terlibat dari awal pembukaan Yayasan Kebajikan Suria ini iaitu dari tahun 1997 hingga kini. Bermula sebagai sukarelawan guru agama yang mengajar anaka-anak istimewa ini pegajian asas Fardhu Ain dan al-Quran sehinggalah beliau dilantik oleh JAKIM dan tertubuhnya Sekolah Agama Rakyat Yayasan Kebajikan Suria yang baru dibuka pada tahun 2010 iaitu setahun yang lalu. Tenaga pengajarnya kini telah bertambah kepada 4 orang.
Sesungguhnya, perjuangan kebajikan ini merupakan salah satu jalan dakwah Islamiah yang sangat memberi kesan kepada Islam dan penganutnya salain daripada dakwah atau pengajaran Islam secara formal di sekolah. Pendekatan secara "kepimpinan melalui tauladan" ini iaitu perjuangan memenuhi hak-hak pembelaan kemanusiaan ini lebih membuka ruang penyebaran dakwah islamiah terutama kepada golongan yang serba kekurangan amat memberi kesan mendalam kepada diri keluarga dan kanak-kanak itu sendiri. Selain daripada itu, kasih sayang yang dicurahkan melalui keprihatinan dan penyediaan keperluan asas anak-anak ini juga merupakan pendekatan dakwah yang halus serta memeberi impak dalam diri kanak-kanak itu sendiri agar bersyukur dengan nikmat yang dirasai mereka yang jauh lebih baik sebelum ini dengan menghargai jasa baik perjuangan dakwah badan kebajikan dengan berazam belajar dengan tekun dan rajin dan tidak lupa mengharapkan serta berdoa agar perjuangan pembelaan anak-anak terbiar ini diteruskan di masa akan datang agar mereka juga mempunyai peluang seperti mereka. Ini adalah berdasarkan tinjauan kajian lapangan saya sendiri (penulis) iaitu hasilan soal selidik terhadap beberapa orang anak-anak istimewa kebajikan Suria, Tuaran ini.
Matlamat dan harapan anak-anak ini jauh lebih matang dari usia mereka. Kesusahan hidup telah mematangkan mereka. Moga hasil perjuangan kebajikan yang bertunjangkan Islamiah ini dapat diteruskan di masa-mas akan datang. Sesungguhnya dakwah punyai pelbagai cara dan pendekatan dan sumbangan serta keprihatinan melalui kebajikan merupakan satu medium perantara dakwah Islamiah yang sangat memberi kesan yang tersendiri bukan sahaja pada diri anak-anak istimewa malah kepada pejuangnya ( Pengasa dan staf kebajikan Yayasan Suria, Tuaran ), keluarga mereka dan masyarakat sekeliling amnya. Benarlah firman Allah dalam surah ali -Imran ayat 104 yang bermaksud : " dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya." Semoga kita semua mendapat keberkatan. Amin.